KOTA KINABALU: Seorang wanita dan anak perempuannya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terbabit dalam sindiket pengeluaran pas lawatan IMM13 yang didalangi oleh beberapa petugas sebuah agensi penguat kuasa di Sandakan.
Kedua-dua suspek berusia lingkungan 50 dan 30 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sandakan, kira-kira jam 7 malam tadi.
Menurut sumber, kedua-dua ibu anaknya dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam menguruskan lanjutan permohonan pas lawatan IMM13 kepada pelarian dari Filipina yang datang berselindung di Sabah akibat pergolakan sekitar awal 1970 – an.
“Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sejak 2022.
“Ia membabitkan wang rasuah berjumlah kira-kira RM20,000,” katanya.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 2 Ogos depan terhadap dua beranak terbabit telah dikeluarkan oleh Majistret Marilyn Kelvin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sandakan, pagi tadi.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan akan dibuat susulan penahanan berkenaan. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ