SUGANDOI, UNDUK NGADAU SEMARAK KAAMATAN TAHUN INI

KOTA KINABALU: Bagi menyemarakkan lagi Pesta Kaamatan tahun ini, jawatankuasa penganjur peringkat negeri bakal mengadakan pertandingan Sugandoi dan Unduk Ngadau.

Bagaimanapun, penganjuran kali ini berbeza kerana ianya dibuat secara atas talian dengan para peserta bagi dua pertandingan itu perlu menghantar video masing-masing ke platform yang disediakan.

Pengerusi jawatankuasa penganjur, Datuk Peter Anthony berkata, pertandingan itu terbuka kepada semua rakyat Sabah termasuk yang berada di semenanjung.

“Bagi acara sugandoi, para peserta boleh menghantar video nyanyian mereka ke laman Facebook (FB) Sugandoi Artist Management (SAM).

“Pemenang bagi pertandingan ini juga akan ditentukan menerusi undian oleh orang ramai di laman Facebook,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Peter yang juga menteri pembangunan infrastruktur berkata, bagi pertandingan Unduk Ngadau pula, mereka yang berminat juga diminta menghantar video masing-masing ke laman FB Unduk Ngadau 2020.

“Bagi memilih tujuh peserta terakhir, ianya juga akan ditentukan menerusi undian dan tujuh yang mendapat undian tertinggi akan ke final yang akan diadakan di Dewan KDCA pada 31 Mei.

“Acara final nanti juga akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuklah kehadiran yang tidak melebihi 50 orang.

“Pemenang Unduk Ngadau itu nanti akan ditentukan oleh juri profesional dengan acara penyampaian hadiah juga akan mengikut SOP yang ditetapkan nanti,” katanya.

Katanya, mereka yang berminat boleh mula menghantar video masing-masing bermula esok manakala tarikh tutup penyertaan adalah pada 29 Mei depan.

Sementara itu, Peter berkata, hadiah kepada pemenang tidak berubah dan sama seperti sebelum ini.

“Bagi acara Sugandoi, pemenang tempat pertama adalah sebanyak RM6,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan memenangi wang tunai RM4,000 dan RM3,000.

“Selain itu, peserta yang mendaapt tempat keempat hingga ketujuh akan menerima wang tunai RM2,000 manakala peserta yang mendapat tempat kelapan hingga ke-65 akan menerima RM1,000.

“Bagi acara Unduk Ngadau pula, juara akan menerima wang tunai RM18,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM13,000 dan RM10,000.

“Tempat keempat hingga ketujuh pula masing-masing akan menerima wang tunai RM7,000, RM5,000, RM4,000 dan RM3,000, tempat kelapan hingga ke-20 akan menerima RM2,000 manakala ke-21 hingga ke-65 akan mendapat RM1,5000,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *