Sultan Abdullah dimasyhur sebagai Sultan Pahang

[ad_1]

PEKAN, 15 Jan (Bernama) — Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang VI, menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

Pemasyhuran yang penuh adat istiadat diraja di Balairung Seri, Istana Abu Bakar diumumkan oleh Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, yang membacakan Pengisyitiharan Pelantikan Raja di bawah Perkara 9A Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Pertama).

“Maka adalah dengan ini dimasyhurkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa Jumaah Pangkuan Negeri kali ke-110 yan bermesyuarat pada 11 Jan 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah dan mengikut hukum syarak telah bersetuju memilih, melantik dan memasyhurkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Tengku Abdullah Alhaj DK SSAP, SIMP, DK Terengganu, DK Johor, Pemangku Raja Pahang, Waris Ganti menjadi raja pemerintah yang menaiki takhta negeri Pahang dan segala jajahan takluknya bagi menggantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah berkuatkuasa 11 Jan 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah.

“Maka yang demikian ketahuilah pada semua yang hadir seluruh rakyat Pahang dan semua orang supaya mengambil maklum dan menjunjung taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Alhaj ibni Sultan Haji Ahmad Shah,” katanya.

Pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu hari ini melayakkan baginda dalam senarai pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong baharu, berikutan peletakkan jawatan oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong XV pada 6 Jan lepas, akan diadakan pada 24 Jan ini di Istana Negara.

— BERNAMA



[ad_2]