Sultan Nazrin Solat Jumaat di Masjid Al-Azim

[ad_1]


MELAKA, 7 Dis (Bernama) — Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira 1 tengah hari diiringi Yang di-Pertuan Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Sultan Nazrin yang juga Sultan Perak mengenakan persalinan baju Melayu berwarna kuning cair menunaikan solat Jumaat yang diketuai Imam Besar Masjid Al-Azim, Datuk Mohammad Hashim Al-Hafiz, bersama kira-kira 5,000 jemaah.

Mohammad turut membacakan khutbah bertajuk ‘Bahaya Fitnah Akhir Zaman’.

Dalam khutbahnya, beliau meminta masyarakat agar memperkukuhkan keperibadian diri dengan pengisian iman dan takwa selain mengambil ikhtibar dari segala perkara musibah yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Selesai solat Jumaat, Sultan Nazrin kemudian berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan para jemaah sebelum berangkat meninggalkan masjid kira-kira 2 petang.

— BERNAMA

 

[ad_2]