Suspek potong dan buang ‘lolou’ sedang dicari polis

Polis dalam usaha mengesan beberapa suspek berhubung kejadian memotong kemaluan lelaki warga Pakistan di Klang, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Ramsay Anak Embol berkata, pihaknya giat mengenal pasti dan seterusnya mengesan suspek yang dipercayai warga tempatan, manakala motif kejadian itu masih belum dikenal pasti.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau lain-lain objek yang merbahayakan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Mangsa masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan keadaannya dilaporkan stabil, kata Ramsay.

Terdahulu, media melaporkan kemaluan seorang lelaki warga Pakistan berusia 32 tahun dipotong oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali ketika mangsa bersantai seorang diri berhampiran Masjid Alam Impian, malam Ahad lalu.

Kumpulan lelaki terbabit kemudian mencampakkan kemaluan yang dipotong itu dan sehingga kini, ia masih belum ditemui.

Menurut rakan mangsa yang juga warga Pakistan, Rizwan Ahmad, sebelum kejadian, mangsa diarahkan oleh kumpulan lelaki terbabit untuk menanggalkan pakaiannya dan melakukan aksi ketuk ketampi, lapor Malaysiakini.