Pasukan mencari dan menyelamat menemui dokumen milik Simon Sange Tupe, 68, yang hilang dalam kejadian membabitkan Perodua Myvi di Sungai Kionsom, semalam.
Dokumen berkenaan ditemui jam 3.30 petang tersangkut di reban ayam oleh penduduk kampung di Kampung Pomotodon, Inanam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, berdasarkan maklumat awam yang diterima, pasukan operasi terus ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.
Katanya, pasukan operasi terus menjalankan pencarian di sekitar kawasan penemuan dokumen berkenaan namun masih gagal menemui mangsa.
“Pasukan bomba meneruskan lagi operasi hari ketiga di sepanjang sungai ini bagi mengesan sebarang petunjuk ataupun mangsa,” katanya ketika ditemui selepas memberi taklimat kepada anggotanya sebelum memulakan operasi, hari ini.
Agustavia berkata, pencarian masih menggunakan tiga kaedah iaitu pencarian atas permukaan air, pencarian tebing sungai menggunakan unit anjing pengesan K9 dan selaman.
Dalam kejadian petang Jumaat lalu, mangsa Simon Sange Tupe, 68, dan Juning Maturun, 37, yang menaiki Perodua Myvi hanyut ke dalam sungai ketika cuba melalui jambatan di Jalan Kionsom Lama.
Operasi mencari dan menyelamat terus dilancarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagaimanapun, setakat ini hanya Juning Maturun ditemui terperangkap di dalam Perodua Myvi berkenaan pagi Sabtu lalu dan operasi mencari seorang lagi mangsa masih diteruskan. -Asia Times

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad