Tahanan KPDN lolos berjaya diberkas semula

SEMPORNA: Dua tahanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang melarikan daripada pejabat KPDN Semporna, di sini, berjaya ditahan semula selepas bebas kira-kira tiga jam.

Kedua-dua suspek berusia 45 dan 30 warga tempatan dan warga asing diberkas sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, di dua lokasi berasingan di daerah ini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.07 tengah hari menyatakan dua tahanan KPDN Semporna melarikan diri dari pejabat agensi berkenaan.

Susulan itu, Mohd Farhan Lee berkata, pihaknya membuat tindakan awal dengan melancarkan Op Tutup dan Op Kesan membabitkan semua elemen yang berada di barisan hadapan.

“Bertindak atas maklumat orang awam menyatakan bahaya tahanan yang melarikan diri berada di kawasan semak berhampiran Dewan Masyarakat, Semporna.

“Maka sepasukan pegawai dan anggota telah membuat pemeriksaan di kawasan semak dan menemui suspek pertama iaitu lelaki warga asing dalam keadaan terbaring dan sedang tidur serta tangan kanan masih bergari,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, ketika tangkapan itu dilakukan, suspek bertindak agresif dan cuba untuk melarikan diri tetapi gagal.

Pasukan polis berjaya menahan salah seorang suspek di kawasan semak berhampiran Dewan Masyarakat, Semporna. – Foto/PDRM

Katanya, hasil pemeriksaan di kawasan sekitar turut menemui sehelai seluar lokap polis warga ungu.

“Pada hari yang sama, jam kira-kira 4 petang, atas maklumat orang awam, pasukan operasi telah pergi ke sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Mesra Sri Jaya.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu, telah menemui suspek kedua warga tempatan dan turut merampas sehelai seluar lokap warga ungu daripada suspek,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Kedua-dua suspek terbabit ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis mengucapkan terima kasih atas kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat berkenaan tahanan yang melarikan diri kepada IPD Semporna sehingga tertangkap semua suspek dalam masa lebih kurang tiga jam.

“Sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Adham Ramli di talian 011-10145004 atau 089-782020,” katanya. – Info X