TUARAN: Meninjau kawasan laluan yang terputus dan terkesan akibat banjir, sanggup meredah tanah runtuh yang becak dan berlumpur, serta menghubungi sendiri kesemua pihak berwajib untuk melaksanakan kerja pembaikan dengan segera.
Demikianlah antara tindakan dan keprihatinan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau selepas tragedi banjir dan tanah runtuh melanda sekitar kawasan Tuaran dan penduduknya pada Ahad.
Malah beliau yang sudah berada di Lapangan Terbang Kota Kinabalu seawal jam 4.00 subuh kelmarin mengambil keputusan untuk tidak menaiki pesawat yang sepatutnya berlepas pada pukul 5.20 pagi selepas meneliti laporan pemantauan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran.
Sebaliknya Madius terus bergegas turun ke kawasan yang terjejas akibat banjir melawat beberapa jalan raya yang terputus, sekolah-sekolah, dan kawasan-kawasan lain yang terkesan.
Tinjauan Berita Sabah di media sosial Presiden Kehormat UPKO itu juga mendapati, bahawa beliau turut menghubungi pihak berwajib satu persatu agar tindakan segera dapat diambil terutama dalam memastikan kerja-kerja pembaikan dan usaha membantu penduduk yang terjejas dilaksanakan lebih pantas dan menyeluruh.
Difahamkan beliau juga memohon pihak berkuasa tempatan dapat mengaktifkan segera Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) agar semua penduduk yang terkesan akibat bencana menerima bantuan sewajarnya.
Beliau yang kemudiannya terbang ke Kuala Lumpur malam tadi memaklumkan, sepanjang keberadaannya di Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran akan meneruskan usaha-usaha memantau dan membantu mereka yang terjejas.
Untuk rekod, sebanyak tiga talian kecemasan boleh dihubungi penduduk Tuaran sekiranya memerlukan bantuan iaitu 088-794313 (Polis), 088-785585 (Angkatan Pertahanan Awam) dan 088-793791 (Bomba).
Dalam pada itu, keprihatinan wakil rakyat yang berasal dari Kampung Lokos Kiulu itu mendapat reaksi positif daripada netizen dan penduduk Tuaran.
Johnny Upin memuat naik komen; “Saya amat terharu dan rasa teruja dengan sifat kepimpinan, kerajinan dan keperihatinan Datuk Seri dalam sifat dan simpati beliau kepada kita sebagai rakyat jelata terutama mereka yang menghadapi kecelakaan musibah dimusim cuaca buruk ini. Semoga Tuhan menjaga dan memberkati setiap langka Datuk Sri.”
“Itulah sebaik-baiknya. Demi rakyat yang sekarang memerlukan perhatian khusus.” – Roslani Abdullah II.
“Terbaik datuk. Beginilah pemimpin yang rakyat perlukan. Tahniah.” – Nassaruddin Apak.
“Pemimpin berjiwa rakyat pasti akan dikenang selamanya.” – Linah Nurlina Bagu.
Setakat pukul 8.00 malam ini, muat naik status di facebook rasmi @Madiustangau ketika membatalkan penerbangan di lapangan terbang Kota Kinabalu mendapat 1,300 sukaan, 256 komen positif dan 84 perkongsian.
More Stories
Keputusan SPM diumum 24 April
Lelaki tipu jual beli emas ditahan polis
Tamu Dongongon berwajah baharu apabila siap dinaik taraf April 2026