Tangkap ikan pakai bom, dua nelayan ditahan

Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 70 kilogram (kg) ikan dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bom di perairan Kampung Terusan, Pulau Bum Bum, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, dua nelayan berusia 30-an yang berasal dari Kampung Halo, di sini, turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Pasukan PPM yang melakukan pemeriksaan terhadap bot pam berkenaan berjaya menemui pelbagai peralatan yang disyaki untuk kegunaan aktiviti bom ikan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, serbuan dilakukan berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang awam.

Katanya, sebaik sampai di lokasi, anggota dan pegawai PPM yang terserempak dengan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan terus bertindak menahannya untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksan di dalam ruang bot pam menemui kira-kira 70 kg ikan pelbagai jenis. Hasil soal siasat ringkas mendapati ikan berkenaan ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Kedua-dua suspek dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Pangkalan Pasukan Polis Marin Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohammad berkata, rampasan yang dilakukan kali ini turut membabitkan dua unit enjin pam, dua gulung hos, kompresor, satu gelen jerikin, dua unit propeller shaft dan perahu.

“Jumlah nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM8,170 dan tangkapan serta rampasan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Mohammad berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, setiap maklumat boleh disalurkan secara terus menerusi aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0132831197. – Asia Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *