Penduduk Kampung Tanjung Aru Baru sekali lagi dikejutkan dengan tragedi kebakaran ketiga dalam tempoh tiga bulan apabila lebih 15 rumah musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, api yang dipercayai berkemungkinan disebabkan litar pintas dari salah sebuah rumah merebak berikutan kedudukannya yang rapat antara satu sama lain.
Dalam kejadian itu, lima kenderaan milik penghuni kampung berkenaan turut musnah selepas gagal diselamatkan.
Namun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan apabila semua penghuni sempat menyelamatkan diri.
Ketua Zon I Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.32 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Penampang dikerah ke lokasi kejadian sebelum tiba lima minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, api didapati sedang marak sehingga memusnahkan 15 rumah berstruktur kayu atas air.
“Pasukan bomba yang turut dibantu penduduk kampung berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dan menyelamatkan sebahagian lagi rumah berdekatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran berkenaan.
Hamsa berkata, api dikawal pada 5.49 pagi dan operasi memadamkan saki baki api kebakaran masih berjalan.
Katanya, api merebak terlalu cepat kerana struktur rumah yang dibina daripada kayu dan berdekatan satu dengan lain.
“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat Unit Forensik Kebakaran,” katanya.
Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Kejadian kebakaran di penempatan rumah atas air di Tanjung Aru adalah yang ketiga.
Kejadian pertama pada 25 Mei lalu, sebanyak 25 rumah musnah dalam kebakaran dan kejadian kedua pada 6 Julai lalu membabitkan 10 rumah musnah terbakar.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad