TERENCE, 100 AHLI STAR SERTAI UPKO

Oleh Wartawan BS
8 Februari 2020

TAMPARULI: Bekas naib presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Terence Sinti yang membuat keputusan keluar daripada parti itu, baru-baru ini, mengumumkan menyertai UPKO, di sini, hari ini.

Terence ketika ditemui berkata, beliau memilih UPKO sebagai wadah baru perjuangannya bagi membantu masyarakat Momogun terus bangkit ke tahap lebih tinggi.

Langkah beliau itu juga dijejaki 100 ahli STAR lain yang turut memilih UPKO sebagai parti baharu yang disokong mereka.

“Saya membuat keputusan ini demi membantu masyarakat Momogun terus bangkit ke tahap lebih tinggi dan UPKO adalah platform terbaik untuk perjuangan ini.

“Ia bukan satu keputusan yang saya dan rakan-rakan saya buat dalam masa satu malam, kami telah memikirkannya masak-masak dan telah memilih UPKO sebagai wadah perjuangan kami seterusnya setelah bertahun-tahun bersama parti STAR.

“Ini kerana kami yakin dengan kepimpinan Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Madius Tangau dan perjuangan parti UPKO yang senantiasa progresif dan mendengar suara rakyat Sabah,” Katanya.

Borang menyertai UPKO berkenaan diserahkan oleh Terence dan diterima sendiri oleh Presiden UPKO yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Wilfred Madius Tangau dalam satu program pemimpin bersama rakyat di kediamannya, di Kampung Kionsom Baru, Kiulu, dekat sini.

Sementara itu, Madius mengalu-alukan kemasukan Terence serta lebih 100 ahli baru UPKO.

“Keputusan Terence adalah suatu langkah yang berani memandangkan parti STAR mempunyai tiga wakil ADUN dan satu Ahli Parlimen di Sabah.

“Ini juga menunjukkan sokongan rakyat Sabah terhadap kerajaan baharu yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang akan terus mendapat sokongan rakyat” ujar Madius.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, Terence yang telah bertanding atas tiket STAR di Kiulu berjaya mendapat 2,457 undi.

Kerusi berkenaan dimenangi Datuk Joniston Bangkuai dari Parti Bersatu Sabah (PBS) yang ketika itu bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan 4,336 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *