“Saya mewakili rakyat Kadamaian mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Negara dan semua frontliners kesihatan kerana berhempas pulas menangani pandemik Covid-19. “
Demikian ucapan penghargaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick membahaskan ucapan Dasar Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Maharuddin pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kota Kinabalu, pada Isnin.
Beliau berkata, penularan pandemik Covid-19 sejak suku pertama tahun ini menyebabkan pelbagai kesan kepada negeri ini.
“Terima kasih juga kepada semua anggota fronliners dari pelbagai pasukan, sukarelawan dan dermawan yang membantu menangani krisis kesihatan ini. Sumbangan dan pengorbanan mereka begitu berharga.”
“Ekonomi rakyat terjejas, pembangunan infrastruktur terhambat, norma terdahulu telah berubah. Saya menyambut baik amanat Tuan Yang Terutama agar kita semua bekerjasama padu dan mantap bagi menangani impak pandemik ini.
Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif berkata, akibat PKP, ribuan rakyat di negeri ini menagih simpati kerajaan terutama keperluan harian seperti bakul makanan dan bantuan lain yang berkaitan.
“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan dilanjutkan, ramai yang tidak dapat meneruskan aktiviti sumber pendapatan mereka.
“Rakyat yang terjejas dan memerlukan bantuan bakul makanan bukan hanya yang tersenarai di bawah e-Kasih atau yang terlibat dalam perintah kuarantin wajib tetapi penduduk kampung yang mana kawasan mereka turut terlibat dalam perintah kawalan ketat.
“Banyak yang berhadapan dengan stigma khuatir berurusan atau bekerja di luar rumah dan memilih duduk di rumah seperti nasihat kerajaan,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ