Seramai 36 individu termasuk seorang penjaga premis dikompaun selepas didapati leka berhibur sehingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sebuah premis hiburan, di sini, malam tadi.
Operasi bersepadu bermula jam 1 pagi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang berkenaan adalah bagi mengesan sebarang aktiviti perlanggaran SOP dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19 di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, hasil pemantauan di pusat hiburan berkenaan mendapati, seramai 22 lelaki dan 14 wanita berkumpul tanpa menjaga penjarakan fizikal.
Katanya, kebanyakkan individu yang diperiksa turut didapati tidak mengimbas kod QR MySejahtera di premis berkenaan.
“Ia jelas membuktikan pelanggaran SOP mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021, iaitu Peraturan 3 Dalam Jadual Aktiviti Terlarang.
“Semua individu yang berusia 21 hingga 44 tahun terbabit masing-masing dikompaun sebanyak RM5,000 setiap seorang manakala pemilik premis pula dikenakan kompaun sebanyak RM25,000,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Haris berkata, operasi kali ini sekaligus mencatat jumlah kompaun tertinggi semenjak pelaksanaan PKPB yang dikuatkuasakan bermula pada 24 Mei lalu.
Katanya, pihak polis tidak akan berkompromi kepada mana-mana pemilik premis hiburan atau individu yang ingkar dengan SOP Covid-19 yang ditetapkan.
“Peningkatan semasa kes positif di daerah ini adalah ditahap yang membimbangkan, oleh yang demikian, pihak polis menggesa masyarakat supaya sentiasa patuh dengan SOP yang ditetapkan supaya rantaian wabak Covid-19 dapat diputuskan segera,”katanya. – Asia Times

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ