Terperangkap dalam parit, buaya tembaga 300 kilo diselamatkan APM. Kejadian di Lahad Datu

Seekor buaya seberat 300 kilogram (Kg) berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam saluran parit di pusat peranginan Felda Residence, Wilayah Sahabat di sini pada Isnin lalu.

Pengurusan pusat peranginan berkenaan segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan sebaik menyedari kehadiran buaya berkenaan.

Menurut kenyataan APM Sabah berkata pihaknya menerima aduan awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 11.25 malam.

“Seramai lima anggota segera menyediakan peralatan operasi dan digerakkan ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan reptilia berkenaan.

“Anggota APM berjaya mengeluarkan dan menangkap buaya tersebut menggunakan jerat perangkap tali kira-kira jam 2.11 pagi,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, buaya berkenaan adalah sejenis buaya jantan tembaga berukuran lebih 10 kaki seberat 300 Kg.

“Anggota APM yang bertugas segera memaklumkan pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) mengenai tangkapan tersebut, kelmarin.

“Buaya jantan berkenaan kemudiannya berjaya diserahkan kepada pihak JHL untuk tindakan selanjutnya pada jam 2.30 petang,” katanya. – Utusan Borneo