Seorang pengawal keselamatan berusia 50-an ditahan selepas terlepas tembakan ketika berada di dalam sebuah bank di Api-Api Centre, di Kota Kinabalu, hari ini.
Dalam kejadian jam 7.55 pagi itu, pengawal keselamatan terbabit yang dipercayai tidak sengaja melepaskan tembakan itu bagaimanapun hanya terkena lantai bank berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima laporan daripada pihak pengurusan bank pada jam 10.45 pagi.
Katanya, sebaik menerima laporan sepasukan penyiasat dan forensik dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.
“Senjatapi yang digunakan dalam kejadian ini adalah jenis Shotgun Laras Panjang.
“Bagaimanapun, kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kematian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, pengawal keselamatan terbabit kini ditahan untuk membantu siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana kesalahan melepaskan tembakan di tempat awam.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Asia Times
More Stories
Pengasas PBRS Joseph Kurup meninggal dunia
Rumah, tiga kenderaan musnah dalam kebakaran
Warisan ramal PRN17 sebelum akhir 2024, GRS bakal hilang kuasa