Aktiviti memburu dua sahabat berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut dipercayai ditembak secara tidak sengaja dalam kejadian di kawasan kebun Kampung Sunsuron, Tambunan, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa lelaki berusia 20 tahun itu dilaporkan maut di tempat kejadian akibat terkena tembakan di lengan dan badan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dan rakannya yang berusia 25 tahun dikatakan melakukan aktiviti berburu di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, suspek dipercayai tertembak rakannya ketika memburu sehingga menyebabkan kematian di tempat kejadian.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau berjaya menahan suspek terbabit.
“Polis turut berjaya merampas satu laras senjata api buatan sendiri jenis bakakuk, satu butir kelongsong peluru dan pakaian suspek yang digunakan dalam kejadian itu,”katanya ketika dihubungi, hari ini.
Shahrudin berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Tambunan untuk proses bedah siasat.
Katanya, hasil semakan mendapati suspek adalah seorang penganggur yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Suspek ditahan reman selama enam hari dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati,” katanya.
Sementara itu, Shahrudin menasihatkan masyarakat supaya mengambil iktibar daripada kejadian itu.
Katanya, aktiviti memburu secara haram dan pemilikan senjata api buatan sendiri bukan saja melanggar undang-undang malah turut boleh mendatangkan kecederaan sehingga meragut nyawa.
“Polis sentiasa peka dan mengalu-alukan sebarang maklumat awam untuk membanteras kegiatan ini bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terutama di kawasan luar bandar,” katanya. – Asia Times

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ