PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi berkata kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) 1971.
Menterinya, Khaled Nordin, berkata akta itu masih relevan, terutamanya melibatkan urus tadbir universiti.
“Pemansuhan Auku akan menjejaskan tadbir urus universiti awam terutamanya sewaktu peralihan akta,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang), yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk memansuhkan Auku.
Khaled berkata proses pemansuhan akta terbabit memerlukan penelitian lanjut memandangkan ia melibatkan akta lain yang turut berkuat kuasa seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605).
Bagaimanapun katanya, kementerian sentiasa terbuka terhadap sebarang cadangan dan pandangan untuk menambah baik akta sedia ada.
Beliau berkata proses libat urus dengan pihak berkepentingan seperti pelajar, kakitangan akademik dan pengurusan universiti terus dilaksanakan bagi mendapat input terkini agar penambahbaikan Auku dapat memenuhi kehendak pemegang taruh mengikut peredaran zaman.
“Antara agenda utama kementerian pada 2023 adalah untuk memperkasa pelajar dengan memberi lebih autonomi dalam kegiatan berpersatuan,” katanya.
Beliau juga berkata kementerian dan universiti awam kini sedang dalam fasa akhir menyediakan beberapa garis panduan bersesuaian untuk memberi lebih kebebasan kepada pelajar dalam menguruskan aktiviti pelajar dan dalam menyertai kegiatan politik di dalam dan luar kampus.
“Sehingga kini, KPT masih mengadakan sesi libat urus dgn penasihat undang-undang universiti awam untuk melihat kebolehlaksanaan di universiti awam.
Pada 7 Feb, ADUN Tanah Rata Ho Chi Yang menggesa kerajaan perpaduan untuk memansuhkan Auku untuk “menjamin secara institusi” autonomi pelajar di universiti.
Beliau mengalu-alukan janji Khaled untuk memperkasakan kesatuan pelajar di universiti, dengan berkata pemansuhan Auku akan menjadi langkah penting ke arah mencapainya.
Beliau menegaskan Auku tidak selaras dengan aspirasi kerajaan untuk merombak sistem pendidikan tinggi negara, sambil mengulangi bahawa Putrajaya mesti memansuhkan akta tersebut.
Ho berkata melindungi universiti daripada campur tangan politik akan memberi ruang selamat kepada pengurusan, ahli akademik dan pelajar untuk menggunakan pengetahuan dan kemahiran mereka untuk mengkritik dan memberi maklum balas mengenai dasar kerajaan.
Dalam manifestonya untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Pemuda Pakatan Harapan telah berjanji untuk memansuhkan Auku. Ia juga dalam manifesto PH untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
More Stories
UMS dan Adamson University jalin kerjasama MoU dalam bidang Akademik dan Penyelidikan
Pemberian MTE PSN kepada UMS bantu tarik minat pelajar dalam bidang STEM
Summer Camp ‘One Health’ UMS tingkatkan kompetensi bakal graduan FPSK