Tiada dendam terhadap Tun M

KOTA KINABALU: Datuk Dr Jeffrey Kitingan tidak berdendam terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 13 Mei 1991.

Kerajaan Pusat di bawah pimpinan Dr Mahathir pada waktu itu didakwa menggunakan ISA untuk menahan Jeffrey atas alasan cubaan membawa keluar Sabah dari Malaysia berikutan kelantangannya membangkitkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan 20 Perkara.

Sebaliknya, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata beliau sudah memaafkan Dr Mahathir dan berharap pemimpin veteran itu dapat melihat perjuangan untuk menuntut hak Sabah tercapai berdasarkan komitmen ditunjukkan kerajaan persekutuan yang ada sekarang.

“Saya tidak balas dendam. Saya lepaskan, saya teruskan hidup. Saya harap Dr Mahathir akan terus ada hingga akhir perjuangan untuk hak negeri,” katanya pada sesi temuramah secara dalam talian anjuran bersama Sabah Way Forward dan KupiKupi FM sempena 33 tahun penahanan Jeffrey di bawah ISA.

Mengimbau punca beliau ditahan di bawah ISA pada 1991, Jeffrey berkata beliau percaya kelantangannya menyuarakan hak Sabah menyebabkan Dr Mahathir tidak suka dan mengambil langkah untuk menghentikan apa yang dilakukannya pada waktu itu.

Katanya, Dr Mahathir pernah memberi amaran kepadanya supaya tidak mengajar rakyat Sabah dengan perkara yang tidak mereka ketahui iaitu merujuk kepada kandungan MA63 dan tuntutan 20 Perkara Sabah.

“Sebelum saya ditahan, Dr Mahathir ada berjumpa saya dan memberi amaran ‘jangan ajar rakyat benda yang mereka tidak tahu’,” katanya sambil menambah beliau dilabel sebagai orang gila kerana membangkitkan isu sensitif itu pada waktu itu.

Bagaimanapun, katanya isu MA63 dan 20 Perkara termasuk tuntutan royalti minyak dan 40 peratus hasil negeri yang dikutip kerajaan persekutuan di negeri ini sudah diberi perhatian di bawah kerajaan persekutuan yang ada sekarang.

Malah, katanya Dr Mahathir sendiri mempengerusikan majlis yang membincangkan tuntutan Sabah dan Sarawak dalam MA63 ketika beliau menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018 hingga 2020.

Jelasnya, Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan komitmen untuk menyelesaikan isu tuntutan MA63 dan menekankan bahawa tumpuan kini adalah untuk melaksanakannya.

Mengenai dakwaan wujud cubaan atau plot untuk membawa keluar Sabah dari Malaysia pada waktu itu, Jeffrey menafikan sekeras-kerasnya tuduhan terbabit dan menegaskan bahawa perkara itu tidak pernah wujud.

Sebaliknya, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu mendakwa beliau menjadi sasaran pendakwaan politik kerana mempertikaikan layanan Kuala Lumpur terhadap Sabah pada waktu itu yang tidak mempedulikan hak negeri ini seperti dinyatakan dalam MA63 dan tuntutan 20 Perkara yang dikaitkan dengan perjanjian itu.

Jelasnya, beliau juga dijadikan sasaran berikutan ketegangan hubungan di antara Kuala Lumpur dan kerajaan negeri Sabah pada waktu itu yang dikuasai Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Selepas PBS menang pilihan raya, kerajaan persekutuan menafikan dana pembangunan kerajaan negeri, sebaliknya memilih untuk menyalurkan dana menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP),” katanya.

Disebabkan tidak berpuas hati dengan situasi itu, Jeffrey berkata beliau mempersoalkan layanan kerajaan persekutuan terhadap Sabah dan membangkitkan isu MA63 yang pada masa itu dianggap isu sensitif menyebabkan Dr Mahathir Mohamad melihatnya sebagai pengacau. – Info X