TIDAK MAHU CALON YANG BERPOTENSI MELOMPAT

KOTA KINABALU : Hanya calon berkelayakan dan bukan ‘katak’ saja yang akan ditampilkan Parti Warisan Sabah (Warisan), Pakatan Harapan (PH) serta Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) pada Pilihan Raya Negeri (PN) akan datang.

Ketua menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata antara calon-calon yang dijangka bertanding nanti juga termasuklah di kalangan muka-muka baharu.

“Itu antara pertimbangan, muka-muka baru dan juga latar belakang, dan daripada itu kriteria utama kita ialah bukan hanya muka baru, bukan hanya ada kelulusan, tapi kami tidak mahu yang melompat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat antara Warisan, PH dengan Upko di ibu pejabat Warisan, di Kolombong, dekat sini, hari ini.

Shafie berkata, mesyuarat yang membabitkan tiga parti berkenaan telah membincangkan beberapa perkara termasuklah soal pengagihan kerusi serta calon.

“Kami sudah bersedia untuk menghadapi parti lawan dan mesyuarat hari ini telah memperincikan beberapa perkara, pertama adalah mengenai kerusi dan kedua ialah soal calon,” katanya

Sementara itu, ketika ditanya sama ada sebuah lagi parti daripada PH iaitu Amanah akan diberi peluang bertanding, beliau berkata, keutamaan buat masa ini diberikan kepada parti-parti tempatan.

“Apa yang penting adalah kekuatan sebuah parti itu, bagi DAP dan PKR, mereka sudah lama bertapak di Sabah,” katanya.-http://beritasabah.com