Tidak payah sibuk, biar Umno urus parti sendiri, kata Annuar Musa kepada PPBM

Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa membidas pemimpin PPBM yang menggesa Umno mendedahkan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti itu di Janda Baik, Pahang dengan berkata, tiada mana-mana pihak yang mempunyai kuasa veto ke atas Umno.

Annuar, yang sebelum ini dibidas segelintir pemimpin Umno kerana dilihat akrab dengan PPBM berkata, parti itu tidak perlu terlalu ghairah mengetahui soal dalaman Umno apatah lagi parti berkenaan dilihat tidak memahami cara parti Melayu itu mengurus parti dan berpolitik.

“Saya rasa tidak perlu bagi PPBM terlalu ghairah dengan soal dalaman Umno, apatah lagi bagi mereka yang masih baharu. Mereka belum faham cara politik Umno, elok mereka diam.

“MKT Umno ada kebijaksanaan tersendiri, ia mempunyai tradisi serta pengalaman melalui pelbagai situasi politik.

“Saya percaya itulah yang sedang berlaku. Mungkin sepinya ‘mesyuarat di gunung’ tempoh hari meresahkan banyak pihak, malah termasuk ahli (Umno),” katanya di Facebook.

Terdahulu ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Muhammad Faiz Na’aman meminta Umno mendedahkan keputusan rasmi mesyuarat MKT parti itu baru-baru ini.

Baginya, ia penting untuk mereka merancang kempen sama ada secara bersama atau berasingan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Annuar bagaimanapun berkata, walaupun Umno tidak mendedahkan keputusan rasmi hasil daripada mesyuarat berkenaan, namun kesan “kesunyian” itu boleh didengar dengan jelas di mana-mana.

“Berilah ruang kepada Umno mengurus sendiri masalahnya. Umno mampu mencari titik penyelesaian sendiri.

“Tidak ada sesiapa boleh veto sesiapa dalam Umno kerana Umno milik ahlinya. Ahli yang menentukan. Sabar,” katanya.

FMT dalam laporan sebelum ini memetik sumber dalaman Umno berkata, mesyuarat pucuk pimpinan parti itu memutuskan untuk berpisah daripada PPBM dan gabungan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang.

Ini berkemungkinan menyebabkan Barisan Nasional (BN) bertanding pilihan raya atas tiket sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *