PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, menegaskan komitmennya untuk terus memacu pembangunan di kawasan itu dengan memberi keutamaan kepada projek infrastruktur dan peningkatan ekonomi setempat.
Antara tiga projek utama yang kini sedang giat dilaksanakan ialah projek tebatan banjir di Donggongon, penaiktarafan Tamu Donggongon, dan pembinaan Jambatan Babagon.
Ewon berkata, segala inisiatif pembangunan yang sedang dan akan dijalankan adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pembangunan Penampang 2024–2035, yang bakal menjadi panduan pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bermula tahun 2026.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menambah, kementeriannya turut memperkenalkan beberapa kemudahan dan inisiatif di Penampang, termasuk penubuhan pejabat Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), cawangan TEKUN Nasional, Studio Live TikTok, dan Hab PMKS Sabah.
Menyentuh mengenai sambutan Kaamatan, Ewon menekankan bahawa perayaan ini bukan sekadar acara budaya, tetapi juga landasan penting dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum di Sabah.
Dalam majlis yang sama, beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Khairat Kematian Kampung Kolopis menerusi peruntukan Ahli Parlimen Penampang, sebagai sokongan kepada inisiatif kebajikan komuniti setempat.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ