Tiga remaja lelaki ditahan disyaki rogol rakan perempuan

TAWAU: Tiga remaja lelaki ditahan selepas disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang juga rakan mereka di sebuah kebun, di sini, pada Khamis lalu.

Semua suspek terbabit ditahan selepas polis menerima laporan daripada ibu mangsa pada Jumaat, jam 4.56 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, susulan laporan itu sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan serbuan di sebuah kampung, di sini.

Katanya, pasukan serbuan berjaya menahan semua suspek berusia 12 hingga 14 tahun itu kira-kira jam 5.40 petang pada hari yang sama laporan dibuat.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 9 malam pada Khamis di kebun berhampiran sebuah kampung di sini.

“Dua suspek adalah pemegang sijil lahir, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan semua mereka tidak bersekolah,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek terbabit adalah kenalan dan tinggal di kampung yang sama dengan mangsa berkenaan.

Champin berkata, polis telah mendapat perintah reman di Mahkamah Majistret Tawau dan semua suspek kini ditahan reman selama lima hari sehingga 2 Oktober depan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 375b Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Info X