Markas Pemerintahan Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan sentiasa memastikan anggota dan aset dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkata pihaknya terus komited memanfaatkan setiap latihan dan eksesais supaya kesiagaan Armada Timur TLDM di tahap terbaik.
“Walaupun berada dalam situasi aman, TLDM sentiasa mencari ruang dan peluang yang menyasarkan kepada kesediaan aset dan warga untuk bertindak sebilang masa.
“Pandemik COVID-19 tidak menghalang TLDM melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang dimanahkan,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini hari ini.
Terdahulu, Sabri hadir menyempurnakan Majlis Penutupan latihan Operational Sea Training Exercise East atau OSTEX EAST Siri 1/2021 di perairan Laut China Selatan dan Laut Sulu.
Menurutnya, latihan tersebut dijalankan selama 10 hari bermula 27 September lalu dan berakhir di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) Pangkalan TLDM Sandakan, di sini hari ini.
“Eksesais adalah aktiviti rutin dalam menentukan TLDM sentiasa bersedia dalam apa juga keadaan.
“Kali ini latihan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sesuai saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Selain itu, eksesais kali ini turut melibatkan sembilan buah kapal dan sebuah helikopter Fennec TLDM yang bernaung di bawah pemerintahan Armada Timur,” katanya.
Katanya, latihan yang dilakukan ialah latihan navigasi, laluan anti periuk api, anti-serangan udara, penembakan sasaran permukaan dan udara, maritime interdiction operations dan evolusi ilmu kelautan.
“Kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan kesiagaan aset Armada Timur TLDM.
“Turut menjayakan eksesais adalah pesawat HAWK, 8200T dan helikopter EC 725 yang berpangkalan di Markas Wilayah Udara 2 (MAWILLUD 2), Labuan.
Justeru, eksesais tersebut secara tidak langsung dapat memperagakan kehadiran aset TLDM di Zan Maritim Malaysia di Laut China Selatan dan Laut Sulu,” katanya.
Turut hadir, Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Pertama Jamaludin Sairi dan Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Pertama Mohd Razib Tahir. – Utusan Borneo

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad