“Tolong dulu kami di sini Long Pasia, 99% penduduk masih belum kena vaksin”

Penduduk di Long Pasia, Sipitang, merayu kepada kerajaan supaya menghantar pasukan bagi melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 di perkampungan itu.

Perkampungan berkenaan terletak jauh di pedalaman Sabah iaitu kira-kira 128km dari pekan Sipitang dan ia juga mempunyai lebih 500 penduduk.

Wakil penduduk, Andrew Laban berkata, hampir semua atau 99% daripada penduduk di Long Pasia masih belum menerima vaksin sehingga kini.

Katanya, ia disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah lokasi kampung berkenaan yang agak jauh selain keadaan teknologi maklumat yang masih agak ketinggalan.

“Sekiranya penduduk perlu ke pekan Sipitang untuk mendapatkan vaksin mereka, tambang pergi balik sudah kira-kira, RM80, belum lagi termasuk makan dan minum mereka,” kata beliau kepada FMT.

Tambah beliau, bukan semua penduduk di Long Pasia mempunyai kemudahan telefon pintar dan ia menyukarkan mereka yang mendaftar untuk menerima vaksin di aplikasi MySejahtera,” katanya kepada FMT.

Andrew berkata, masih ramai dalam kalangan penduduk terutama yang lebih berusia belum begitu peka serta tahu mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Sehubungan itu, katanya para penduduk di Long Pasia sangat memerlukan pertolongan pihak berkaitan agar program berkenaan dapat segera dilaksanakan di situ.

“Di Long Pasia ada klinik desa, mungkin di sana boleh dilaksanakan program vaksin ini atau mungkin di tempat-tempat lain seperti balai raya dan sebagainya.

“Walaupun dengan teknologi maklumat yang terhad, ada juga penduduk yang datang mengadu kepada saya yang dia telah pergi ke klinik desa untuk bertanya mengenai vaksin, sampai begitu sekali dan ia memperlihatkan penduduk Long Pasia mahukan vaksin,” katanya.

Katanya, ketika ini keadaan teknologi maklumat di kampung itu bertambah buruk lagi selepas menara telekomunikasi di sana tidak berfungsi kerana penjana kuasanya tidak mempunyai minyak.

Katanya, keadaan itu berlaku susulan kejadian jambatan runtuh di satu-satunya laluan masuk ke kampung berkenaan yang, baru-baru ini.

“Semua orang di kampung sekarang tiada ‘line’ telefon, lori yang mengangkat diesel untuk kegunaan penjana kuasa menara (telekomunikasi) di sana tidak dapat masuk ke kampung.

“Walaupun ada laluan alternatif dibina di bawah jambatan yang runtuh itu, namun hanya kenderaan kecil saja yang dapat melaluinya,” kata beliau.

Sehubungan itu, Andrew merayu kepada kerajaan untuk datang melaksanakan program vaksin di kampung berkenaan, bukan hanya di Long Pasia tetapi juga kampung-kampung lain di Sabah yang agak terpencil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *