Tuaran antara 9 daerah termiskin di Malaysia terima bantuan awal pengajian

TUARAN : Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan bantuan tunai kepada pelajar kurang berkemampuan bagi menampung bebanan kos sara hidup yang ditanggung mereka di negeri ini.

Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, bantuan awal ini bertujuan sebagai persiapan awal kepada pelajar agar mereka kekal meneruskan pengajian serta tidak terbeban akibat akibat tekanan kemelesetan ekonomi terutamanya pelajar tinggal di kawasan luar bandar.

Antara pelajar menera bantuan awal YBR di Tuaran.

Katanya, sebelum ini Tuaran disenaraikan antara sembilan daerah termiskin di Malaysia memastikan bantuan ini mampu meringankan bebanan kewangan ibu bapa serta pelajar.

“Bantuan awal ini memberi peluang kepada individu serta ibu bapa untuk menyediakan pelbagai kelengkapan pembelajaran anak-anak untuk persediaan belajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam di negara ini.

“YBR akan meneruskan usaha ini bagi memastikan golongan muda memiliki akses pendidikan berkualiti disamping memberi galakkan untuk mencapai kejayaan dengan lebih cemerlang di masa depan,” katanya di dalam satu kenyataan.

Lasimbang berkata, sebagai rekod tahun lalu seramai 3,580 pelajar menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR membabitkan peruntukan sebanyak RM2.29 juta di seluruh negara.

“Bantuan kewangan ini dikhususkan kepada penerima yang layak sebagai permulaan untuk memulakan pengajian semester serta menyediakan peralatan diperlukan untuk meneruskan pengajian.,” jelas Lasimbang.

Majlis penyampaian bantuan awal pengajian disempurnakan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Turut hadir, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat, Mohamad Ghazali Zainal Abidin. -SABAH NEWS TODAY