Kota Kinabalu : Pasukan Bola Sepak wanita mewakili Tuaran FA berjaya menjuarai kejohanan Bola Sepak Piala Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag yang julung kali dianjurkan tahun ini.
Perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Likas itu menyakskan Tuaran FA berjaya menewaskan Putatan FA dengan penentuan sepakan penalti 5-4 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada 60 minit aksi penuh perlawanan.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Pemangku Penolong Setiausaha Kehormat Mutiara GRS Datin Adizah Matusuf yang mewakili isteri Ketua Menteri Datuk Seri Juliah Salag.
Hadir sama Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Awang Kadin Tang; Naib Presiden 1 SAFA Datuk Alijus Sipil dan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Sabah, Muhd Arziz Afizy Rumsani.
Alijus ketika ditemui berkata, kejohanan yang julung kali dilaksanakan itu diyakini mampu menjadi platform utama dalam pemilihan pemain bola sepak wanita bagi mewakili Sabah dan pasukan Kebangsaan.
“Tujuan utama kita adalah untuk mencari seberapa ramai pemain, ruang kita kini untuk memilih pemain adalah peringkat Sukan Sabah (SAGA), itupun dua tahun sekali dan selama ini kita juga kekurangan kejohanan ataupun pertandingan seperti liga dan sebagainya.
“Saya harap titik permulaan ini akan dapat melahirkan pemain bola sepak yang boleh mewakili pasukan Sabah dan juga Kebangsaan. Selama ini juga Sabah memang antara negeri utama yang mengeluarkan pemain wanita untuk mewakili pasukan Kebangsaan dan ini akan kita teruskan tradisi ini,” katanya.
Dalam pada itu, Arziz berkata, matlamat untuk mencari bakat-bakat baharu bagi mewakili Sabah ke Sukan Malaysia (SUKMA) menerusi kejohanan itu berjaya mencapai misinya.
“Semua berjalan dengan lancar sehingga selesai dan matlamat kita untuk mencari bakat-bakat baru dan pemain-pemain yang kita lihat boleh diserap ke pasukan Sabah dan SUKMA mencapai misi apa yang kita mahu pada kejohanan ini.
“Ini juga adalah kelebihan kejohanan ini, tapi ini adalah permulaan. Mungkin pasukan lain yang tidak sempat menyertai pada kejohanan ini akan dapat bersedia lebih awal untuk kejohanan akan datang,” katanya.
Turut diumumkan pada kejohanan itu penjaga gol terbaik yang dianugerahkan kepada Nur Afizah Azre (Tuaran FA); penjaring terbanyak dianugerahkan kepada Cynthia Paulin (UMS) dan Nina Hasmaji (SSMS Phoenix FC) masing-masing dengan empat jaringan.
Selain itu turut diumumkan pemain terbaik kepada Henrietta Justine (Tuaran FA) dan pasukan terbaik SSMS Phoenix FC.
Naib johan kejohanan dimenangani Putatan FA; Keningau FA (ketiga) dan UMS (keempat).
Terdahulu, kejohanan itu turut disertai 17 pasukan yang berlangsung selama dua hari berahir semalam.
More Stories
Seramai 650 pendatang asing tanpa izin dihantar pulang dari sandakan
Wanita cedera kereta terbabas ke dalam gaung
Dakwa warga China kerja tanpa permit, pengusaha pelancongan tempatan di Semporna lapor polis