TUN M DAN KU LI POHON AHLI DEWAN RAKYAT TOLAK BELANJAWAN 2021 ESOK

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Dewan Rakyat dipohon untuk menolak Bacaan Kali Ketiga Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 yang dijadualkan esok.

Perkara itu dinyatakan oleh dua negarawan tanah air, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu sidang media bersama, di sini, hari ini.

Mereka berkata, dengan penolakan Rang Undang-Undang Pembekalan itu, ia boleh diterjemahkan sebagai penolakan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan lemah, dan tidak mementingkan rakyat.

Menurut Mahathir, mereka berdua mengharapkan agar Kerajaan sedia ada dapat ditolak, dan diganti dengan Kerajaan yang lebih kukuh demi masa depan negara.

“Ada kemungkinan esok, apabila mereka (Ahli-ahli Dewan Rakyat) mengundi untuk bacaan kali ketiga Bil itu, maka ada kemungkinan Kerajaan akan jatuh.

“Saya harap mereka yang dalam Dewan Rakyat dapat berhenti memikirkan tentang diri mereka semata-mata, tetapi mula memikirkan tentang negara. Kita lihat kerajaan ini tidak mempunyai motivasi untuk membantu rakyat, tetapi hanya memikirkan apa yang mereka dapat,” kata bekas Perdana Menteri itu lagi.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, mereka berharap agar Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersikap jujur dan menzahirkan perasaan cinta dan sayang kepada negara.

Dalam sidang media itu, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, beliau dan Tengku Razaleigh, yang lebih dikenali sebagai Ku Li mengharapkan agar status kegemilangan Malaysia sebagai kuasa ekonomi ‘Asian Tiger’ dapat dikembalikan semula.

“Kami mahukan negara ini berada pada landasan yang betul untuk menjadi negara yang disegani, seterusnya memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi seterusnya,” katanya lagi.

Tengku Razaleigh sendiri menganggap kerajaan sekarang tidak mendapat keabsahannya dan Muhyiddin bukan perdana menteri yang memiliki keabsahan.

Pengerusi Lembaga Penasihat Umno itu sebelum ini menulis kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun untuk memaklumkan dia tidak akan menyertai perbahasan Belanjawan 2021 selagi keabsahan Muhyiddin dan kerajaan PN tidak dibuktikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *