U23 Sabah FC dicabar jadi juara liga musim ini

KOTA KINABALU: Pasukan Bawah 23 (U23) Sabah FC dicabar untuk mencipta sejarah dengan sasaran menjadi juara liga dalam saingan Malaysian Football League (MFL) U23 pada musim ini.

Cabaran itu disuarakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Pengurus Pasukan MFL U23 Sabah FC, Datuk Abdul Kassim Razali di Kampung Tambalang, Tuaran, semalam.

Hajiji berkata, pemain U23 Sabah FC, perlu memiliki komitnen kuat dan menunjukkan semangat juang yang tinggi ketika berdepan pihak lawan di padang.

Katanya, tiada alasan atau perkara yang mustahil untuk dicapai jika pasukan membuat persiapan rapi dan bersungguh-sungguh mengharumkan nama Sabah dalam arena bola sepak.

“Saya difahamkan Pasukan MFL U23 Sabah FC dibarisi oleh pemain tempatan yang sangat berbakat, sangat berdisiplin dan komited setiap kali menjalani sesi latihan.

“Pihak pengurusan yakin sekiranya komitmen ini sentiasa dikekalkan, adalah tidak mustahil mereka boleh mencapai kedudukan yang terbaik dalam carta liga pada musim ini,” katanya.

Hajiji (dua kanan) menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Pengurus Pasukan MFL U23 Sabah FC, Datuk Abdul Kassim Razali (dua kiri) di Kampung Tambalang, Tuaran.

Hajiji berkata, komitmen berterusan pihak kejurulatihan iuga memainkan peranan penting dalam memperkuatkan pasukan dan mencapai sasaran aksi liga pada musim ini.

Apa yang penting, katanya pemain tidak berputus-asa dan sentiasa menunjukkan komitmen serta semangat juang tinggi tanpa gentar menghadapi musuh selagi masih berada di padang.

“Saya serta barisan pengurusan sentiasa memberikan sokongan moral dan memastikan nama Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat diterjemahkan untuk mencapai kejayaan di persada liga nanti,” katanya.

Sementara itu, Abdul Kassim menzahirkan penghargaan atas kehadiran Hajiji pada majlis rumah terbuka itu dan turut mendoakan kejayaan Pasukan MFL U23 Sabah FC yang akan memulakan kempen pertama musim ini pada bulan depan.

Katanya, kata-kata semangat dan sokongan yang dilontarjan Ketua Menteri selaku pemimpin nombor satu di negeri ini sangat bermakna buat pasukan bimbingannya.

“Semoga ia akan menjadi pembakar semangat kepada pemain muda ini untuk mengorak langkah lebih agresif bagi menggenggam kejayaan pada musim ini,” katanya. – Info X