KUALA LUMPUR – Dasar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang hanya dibuka untuk pelajar Melayu, Orang Asli dan anak negeri Sabah serta Sarawak masih dikekalkan dalam usaha merapatkan jurang antara kaum terutama membabitkan aspek sosioekonomi.
Memetik sumber Berita Harian, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menekankan bahawa dasar itu masih diperlukan bagi merealisasikan hasrat kerajaan.
Katanya, Laporan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 oleh Kementerian Ekonomi menunjukkan masih wujud jurang ekonomi membabitkan Bumiputera dan bukan Bumiputera dari segi purata pegangan bulanan, pegangan ekuiti korporat, kadar kemiskinan dan pengeluaran tenaga kerja mahir.
“Malah, kadar miskin mutlak dalam kalangan Bumiputera masih memerlukan usaha secara berterusan untuk diperbaiki.
“DENGAN TERTUBUHNYA UITM, LEBIH RAMAI ANAK BUMIPUTERA MEMPEROLEH PELUANG MENYAMBUNG PENGAJIAN DAN DILATIH UNTUK MENGISI PELBAGAI JENIS JAWATAN SEBAGAI KEPERLUAN MENINGKATKAN KUALITI HIDUP DAN MENGUBAH NASIB MEREKA,” KATANYA KETIKA SESI JAWAB LISAN DI DEWAN RAKYAT, SEMALAM.
Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang membenarkan bukan Bumiputera menuntut di UiTM dengan meminda Akta UiTM 1976 atau sebaliknya.
Tambah Zambry, UiTM sendiri merupakan sebuah Universiti Awam (UA) yang ditubuhkan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Seksyen 1A Akta UiTM 1976 [Akta 173].
Jelasnya, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ini merangkumi kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam membuat penetapan kuota bagi kaum Melayu, anak negeri Sabah dan Sarawak, yang merupakan asas kepada agenda Bumiputera bagi pengambilan pelajar UiTM.
Mengenai isu kekurangan pakar kardiotorasik sehingga mencetuskan kontroversi membabitkan UiTM, Zambry berkata, berlaku sedikit kekeliruan intepretasi oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
“Kita sudah berusaha mencari pendekatan terbaik bagi menyelesaikan masalah khusus kepada empat tenaga pakar bedah ekoran Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh (FRCS Ed).
“Satu perbincangan sudah diadakan dengan pihak Universiti Malaya (UM) untuk memperkenalkan kursus itu. Oktober nanti ia akan diselesaikan, yang mana ada laluan lain selain UiTM,” katanya.
Untuk rekod, isu ini timbul selepas MMC menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraksik untuk disenarai dalam Daftar Pakar Kebangsaan kerana Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka tidak diiktiraf susulan penguatkuasaan pindaan Akta Perubatan mulai 2017.
Antara penyelesaian yang dicadangkan sesetengah pihak adalah empat pakar itu diterima untuk melalui latihan khusus di UiTM sebagai universiti pertama menawarkan program kepakaran perubatan dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang pembedahan kardiotorasik. –SABAH NEWS
More Stories
Warga Pakistan ditahan bersama 15,850 kotak rokok seludup
Buaya tembaga seberat 180 kg berjaya ditangkap
14 Sekolah Terjejas Banjir Di Daerah Beaufort