“UMNO mengambil sikap mudah membelanjakan wang rakyat” – Rafizi

SHAH ALAM — Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menolak cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggesa kerajaan menyelamatkan Sapura Energy Berhad (SEB) yang kini berdepan risiko muflis menggunakan wang rakyat.

Menurutnya, Najib memberi alasan rakyat yang memiliki institusi seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas) atau Khazanah Nasional (Khazanah) akan kerugian besar jika SEB tidak diselamatkan.

“Contoh-contoh kerugian yang diberikan termasuklah kerugian kepada pemegang Amanah Saham Bumiputera sebanyak RM4 bilion, kerugian kepada Maybank sebanyak RM10 bilion dan kehilangan pekerjaan sebanyak 10,000 orang,” jelasnya dalam sebuah kenyataan.

Tambahnya lagi, cadangan tersebut menunjukkan sikap UMNO/BN yang dengan mudah menggunakan wang rakyat untuk menutup kerugian korporat.

“Selepas kemenangan besar UMNO/Barisan Nasional dalam pilihanraya negeri Melaka dan Johor, suara seperti ini yang mengambil sikap mudah membelanjakan wang rakyat untuk menutup kerugian korporat semakin kuat kedengaran.

“Rekod pentadbiran UMNO/Barisan Nasional, terutamanya semasa Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, menunjukkan skandal-skandal besar pembaziran wang negara berlaku apabila UMNO/Barisan Nasional merasakan mereka kuat dan tidak tercabar.

“Sementara saya simpati dengan nasib kakitangan Sapura yang berhadapan masa depan tidak menentu, membelanjakan berbilion wang rakyat kepada beberapa kerat syarikat korporat dalam keadaan semua perniagaan dan semua pekerja di segenap peringkat menghadapi kesusahan adalah tidak adil,” kata Rafizi.

Lebih-lebih lagi katanya, setelah syarikat tersebut diberi suntikan berbilion-bilion ringgit sejak lebih sedekad lalu dan masih mengalami masalah kewangan pada kala harga minyak mentah berada pada paras yang tinggi (berbeza dengan syarikat minyak lain yang mendapat durian runtuh apabila harga minyak mentah dunia naik).

Sementara itu, beliau berkata bahawa sekiranya gesaan Najib dilaksanakan wang rakyat akan terus digunakan untuk membela segelintir golongan elit.

“Wang rakyat yang boleh digunakan untuk membina kepakaran dan kemahiran usahawan-usahawan kecil, anak-anak muda, memberi pinjaman pendidikan dan seumpamanya akan terus diperuntukkan untuk membela segelintir golongan elit, sedangkan semasa golongan elit ini bermewah (hasil dari pembiayaan wang rakyat) mereka tidak pula memikirkan tanggungjawab mereka memberi pulangan pelaburan yang baik kepada rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rafizi menegaskan agar rakyat jangan lagi terpedaya dengan pengurusan ekonomi dari Najib dan akan terus memantau isu dan membentangkan angka dalam hari-hari seterusnya.

“Saya menunggu sama ada beliau akan membalas kenyataan saya ini, seperti mana beliau begitu ghairah menjawab semua isu di media sosialnya selama ini.

“Sekembalinya saya ke arena politik, Insya-Allah setiap idea songsang Najib akan menerima maklum balas dari saya,” katanya.