Umno hari ini menghantar warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan surat akuan tambahan senarai Ahli Parlimen parti itu yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata senarai terbaharu itu adalah tambahan kepada lapan nama Ahli Parlimen yang dihantar kepada Agong pada 30 Julai lalu.
“Saya telah mempersembahkan warkah yang melampirkan lapan surat akuan Ahli-ahli Parlimen Umno kepada Agong pada 30 Julai 2021, bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Mahiaddin sebagai Perdana Menteri.
“Ini cukup untuk menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti, biarpun sebenarnya jumlah berkenaan melebihi daripada itu.
“Pada hari ini saya telah mengutus warkah Agong bagi mempersembahkan surat akuan tambahan sebagai lanjutan warkah terdahulu,” katanya dalam kenyataan.
Zahid berkata, jumlah Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN pimpinan Muhyiddin sebelum ini 114, sebelum parti itu menarik sokongan.
“Kenyataan Perdana Menteri dalam perutusan khas mendakwa kerajaan masih mempunyai majoriti adalah tidak benar.
“Umno mencabar kerajaan untuk segera memanggil sidang khas Parlimen untuk membuktikan Perdana Menteri masih mempunyai majoriti tanpa menunggu sehingga persidangan Parlimen pada September,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin berkata beliau masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen dan bersedia menghadapi usul undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat bulan depan.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong