UMS anjur kursus teknologi AR, bantu guru hasilkan bahan PnP berimpak tinggi

Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Kursus Berteknologi Tinggi Augmented Reality (AR) bagi memberi latihan para guru menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran (PnP) yang berinovatif dan berimpak tinggi.

Dekan FPP, Prof. Madya Dr. Sabariah Sharif berkata, ia sebagai usaha untuk membantu mencipta suasana PnP yang kreatif dan interaktif sekali gus menarik perhatian murid sepanjang sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Antara cabaran yang dihadapi golongan pendidik semasa pandemik Covid-19 ialah bagaimana mengekalkan minat pelajar agar sentiasa bersemangat mengikut sesi PdPR dalam setiap mata pelajaran.

“Justeru, kursus ini memperkenalkan peserta kepada asas-asas teknologi AR yang boleh diterapkan dalam PnP atas talian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kursus bertajuk “Dunia Sebenar Pembelajaran Menerusi AR” itu diadakan secara maya bermula 23 Ogos sehingga 4 September 2021 melalui gabungan kerjasama Program Pendidikan Awal Kanak-kanak FPP, Pusat E-Pembelajaran UMS dan MySTEM Ambassador UMS.

Menurut Sabariah, pengenalan teknologi AR merangkumi rekabentuk sistem, teknik interaksi, animasi 3D objek, dan penggunaan sistem AR.

Beliau berkata, kesemua peserta turut diperkenalkan dengan UNITY 3D iaitu himpunan aplikasi untuk memudahkan penghasilan aplikasi AR secara kendiri.

“Setelah lima hari menghadiri kursus, peserta kemjudiannya diminta menghasilkan inovasi bahan PnP melalui aplikasi AR yang seterusnya dipertandingkan menerusi platform webinar.

”Misi melahirkan guru berinovatif ini diharapkan mampu mewujudkan elemen dunia pembelajaran sebenar semasa Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPC),” jelas Sabariah.

Dalam pada itu, Sabariah memaklumkan penganjuran kursus tersebut juga bagi memenuhi hasrat kemenjadian STEM Ambassador UMS iaitu memperkasa mahasiswa secara holistik.

“Pada kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengarah Pusat E-Pembelajaran UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Edmund Ng Giap Weng selaku penceramah kursus; Ketua Program Pendididikan Awal Kanak-kanak, Dr. Connie Cassy Ompok selaku urusetia; Dr. Nur Suhaidah Sukor selaku Setiausaha dan semua pihak yang terlibat menjayakan program ini,” katanya.

Kursus tersebut disertai 98 peserta daripada guru Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pusat Perkembangan Kanak-kanak Yayasan Sabah, Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Institut Pendidikan Guru Malaysia, pelajar Program Pendidikan Awal Kanak-kanak FPP dan MyStem Ambassador UMS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *