UMS aplikasi teknologi AR anjur Pertandingan Mewarna Semarak Sambutan Bulan Kebangsaan

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) mengadakan pertandingan mewarna menggunakan teknologi Augmented Reality (AR) yang pertama di Malaysia sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Dekan FPP UMS, Prof. Madya Dr. Sabariah Sharif berkata, penggunaan teknologi itu membolehkan kanak-kanak meneroka teknik mewarna baharu sambil menerapkan semangat cintakan negara.

“Pertandingan ini juga bagi memupuk budaya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan kanak-kanak sejak di peringkat awal usia.

“Dengan membawa tema “Cintai Alam Kita: Dunia Cendawan”, pertandingan yang bersifat 3 dimensi (3D) iniamat sesuai sebagai suatu pendedahan bagi menyemarakkan minat terhadap program STEM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Sabariah, pertandingan itu diadakan sejak 9 Ogos dan akan tamat pada 25 Ogos 2021, terbuka kepada semua kanak-kanak prasekolah di seluruh Malaysia.

“Para peserta dikehendaki memuat turun gambar cendawan di pautan https://cendawancerah.com/site/ar-colouring-contest.

“Selepas gambar itu diwarna menggunakan warna pensel, kanak-kanak boleh mengimbas gambar cendawan tersebut menggunakan aplikasi AR.

“Gambar yang dihasilkan daripada aplikasi ini sangatlah menarik dan objek cendawan dalam bentuk 3D dapat dilihat seperti realiti berdasarkan warna pilihan masing-masing.

“Kita juga menyediakan panduan video di Youtube sebagai panduan bagi mereka yang mempunyai kekeliruan dengan melayari pautan https://youtu.be/Es4Q1GP4pUY,” jelasnya.

Ujar Sabariah, penganjuran pertandingan itu juga sempena menyemarakkan sambutan Bulan STEM Kebangsaan 2021.

“Ia dianjurkan dengan kerjasama Program Pendidikan Awal Kanak-kanak FPP, Pusat E-Pembelajaran UMS, Industri Cendawan Cerah Sdn. Bhd. dan Sabah Institute of Art (SIA).

“Johan akan menerima hadiah RM300, naib johan RM200 dan tempat ketiga RM100. Sebanyak 20 pemenang saguhati akan menerima wang tunai RM50. Kesemua penerima hadiah juga akan diberikan sijil digital (e-Certificate),” tambahnya yang juga Penyelaras MySTEM Ambassador UMS. 

Sementara itu, Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, FPP UMS, Dr. Connie Cassy Ompok berkata, Dunia Cendawan merentas Pendidikan STEM amat sesuai untuk kanak-kanak.

“Banyak aktiviti STEM untuk pendidikan awal kanak-kanak yang telah dihasilkan menggunakan konsep cendawan.

“Antaranya ialah penghasilan bongkah cendawan (STEM Engineering),  aktiviti penerokaan tumbesaran cendawan (STEM Explore, Discover, Innovate), aktiviti ekonomi yang berasaskan cendawan (STEM Global)  dan aktiviti pendekatan projek bersama ibu-bapa  (STEM Society).

“Selain itu, ia juga merangkumi keusahawan dalam pendidikan awal kanak-kanak (STEM Entrepreneurship), kemampanan alam sekitar (STEM Sustainability),  dan memberi kesedaran kanak-kanak lagi menghargai khazanah alam di negara ini (STEM Heritage),” katanya.

Keputusan pemenang pertandingan akan diumumkan pada 31 Ogos 2021 melalui laman Facebook Pendidikan Awal Kanak-kanak UMS dan https://cendawancerah.com/site/ar-colouring-contest.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Dr. Connie Cassy Ompok (connieompok@ums.edu.my), Prof. Madya Ts. Dr.  Edmund Ng (nggiapweng@ums.edu.my) dan Dr. Nur Suhaidah Sukor (nursuhaidahsukor@ums.edu.my).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *