UMS, MBSB Bank anjur MBUCK beri pendedahan peluang kerjaya kepada bakal graduan

KOTA KINABALU: Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan MBSB Bank mengadakan “Program MBSB Bank University Career Kick-Start (MBUCK) with UMS”, di sini, baru-baru ini.

Ketua Talent Acquisition and Employer Branding MBSB, Santhana Krishnasamay berkata, program itu antara lain bertujuan memberi pengenalan dan berkongsi peluang pekerjaan ditawarkan di MBSB Bank.

“Selain itu, para peserta berpeluang untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan industri perbankan bersama wakil industri yang hadir.

“Di samping itu, ia juga bagi memberi pendedahan tentang hala tuju dan cabaran kerjaya di MBSB Bank sekali gus menyumbang ke arah peningkatan kadar pekerjaan dalam bakal graduan,” katanya.

Santhana berkata demikian dalam satu kenyataan sempena program itu yang berlangsung di Auditorium Pascasiswazah UMS.

Turut hadir Ketua Industrial Relations and Governance, Mathew Jr Johnson; Pegawai Psikologi PKPKP UMS, Nurul Fatiha Firdaus Roslan; Pegawai Psikologi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nurul Aashiqin; dan Penolong Pegawai Tadbir PKPKP UMS, Anita Jamo Rudy.

Menurut Nurul Fatiha, seramai 100 peserta menghadiri program itu yang terdiri daripada pelajar tahun akhir UMS dan UiTM dari pelbagai bidang ijazah sarjana muda.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program yang diadakan buat julung kalinya di UMS ini.

“Semoga ia dapat memberi manfaat kepada para peserta khususnya dari segi ilmu berkaitan industri peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak MBSB Bank,” katanya.