UMS Meterai MoA Dengan Dua Pemain Industri Bagi Bangunkan Tanah UMS di Kg. Apin-Apin

KOTA KINABALU: Pusat Pengurusan EcoFarm (PPEF), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan majlis pertukaran dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) dengan dua syarikat yang amat dikenali di rantau ini iaitu Malaysian Kuwaiti Investment Co. Sdn. Bhd. (MKIC) dan Yun Fook Resources Sdn. Bhd. (YFR) bagi membangunkan sebahagian tanah UMS yang terletak di Kg. Apin-Apin, Keningau.

MoA dengan MKIC adalah untuk penanaman kelapa bersepadu, termasuk kajian penghasilan makanan ternakan dari sisa organik pertanian.

Bagi YFR pula, projek yang akan dijalankan adalah penanaman kelapa sawit bersepadu, termasuk kajian jarak tanaman kelapa sawit.

Pertukaran dokumen tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dan Pengerusi MKIC, Dato Sri Dr. Sabin bin Samitah serta Pengarah Urusan YFR, Datuk Yap Yun Fook.

Majlis yang berlangsung di Galeri Majlis, UMS pada 26 Jun 2023 itu turut disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin sempena lawatan kerja beliau ke UMS.

Datuk Dr. Kasim berkata, kerjasama ini antara lain bertujuan untuk mendukung pembangunan pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dalam melestarikan industri pertanian dan penghasilan makanan ternakan di Sabah, termasuk penggunaan pengetahuan seperti penghasilan makanan ternakan secara probiotik untuk meningkatkan pencernaan dan pengambilan nutrien oleh haiwan.

Ujarnya lagi, ini selaras dengan salah satu hasrat dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya iaitu meningkatkan produktiviti pertanian melalui penggunaan teknologi terkini sejajar dengan Revolusi Industri (IR4.0) dan Internet of Thing (IoT).

“Kerjasama ini turut membantu UMS dalam memaksimumkan penggunaan aset sekali gus memberi pulangan pendapatan dan meningkatkan kelestarian kewangan universiti.

“Di samping itu, ia juga membantu UMS menghasilkan graduan pertanian yang siap sedia memberi impak kepada industri pertanian sejurus selepas bergraduat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr Rosalam bin Sarbatly yang telah menerajui rundingan antara UMS dan kedua-dua syarikat tersebut berkata, kos operasi pembangunan tanah dan penyelidikan di tanah UMS di Kg. Apin-Apin, yang secara amnya merupakan sebuah Makmal Hidupan UMS akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat dengan UMS sebagai peneraju kepada penyelidikan yang akan dijalankan kemudian.

“Projek ini merupakan satu kerjasama pintar dalam penyelidikan dan inovasi di peringkat universiti kerana ia akan menghasilkan produk yang terus digunakan oleh industri dan masyarakat.

“Dapatan dari penyelidikan di Makmal Hidupan ini akan diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi,” katanya.

Manakala Pengarah PPEF UMS, Ts. Dr. Januarius Gobilik berkata, skop kerjasama dengan MKIC akan melibatkan penanaman kelapa matag (hibrid) dan tacunan dengan perancangan awal adalah penanaman 3,500 bibit di atas tanah seluas 40 ekar.

“Sisa dari industri ini akan digunakan dalam menghasilkan formulasi makanan ternakan. Integrasi tanaman kelapa dan ternakan juga sebahagian dari rancangan yang difikirkan dalam kerjasama ini.

“MKIC akan menyuntik dana kepada penyelidikan formulasi makanan tersebut melalui AFEEDRI iaitu Makmal Hidup Khusus untuk penyelidikan dan pengindustrian makanan ternakan.

“Manakala, kerjasama dengan YFR akan melibatkan penanaman kelapa sawit bersepadu di atas tanah seluas 30 ekar dengan penyelidikan kesan ke atas penghasilan dan ekologi persekitaran oleh jarak tanaman 30 x 30, 35 x 35, 40 x 40 kaki persegi,” ujar beliau lagi.

Untuk rekod, projek pembangunan tanah UMS di Kg. Apin-Apin, Keningau ini merupakan sebahagian dari projek-projek yang dijalankan oleh PPEF, UMS yang telah diamanahkan untuk memajukan beberapa tanah milik UMS termasuk tanah di Mesilou, Kundasang yang sedang dibangunkan sebagai Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran Pertanian Tanah Tinggi.