UMS wujudkan empat kluster penyelidikan, depani cabaran IR4.0 dan perubahan geopolitik

KOTA KINABALU – Bagi mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan perubahan geopolitik serantau, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memperkukuhkan ekosistem penyelidikan dengan mewujudkan empat kluster penyelidikan.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Hj Mansor memberitahu, empat kluster tersebut adalah kluster Sains Hayat atau Biologikal, Sains Fizikal, Sains Sosial dan Sains Perubatan, dengan setiap kluster mempunyai institut dan pusat yang berkeupayaan untuk mengeluarkan hasilan penyelidikan yang bermutu.

“Perwujudan kluster ini menyediakan mekanisme yang fleksibel, membolehkan penyelidikan rentas sempadan dalaman dan luaran institut.

“Bagi menyokong kluster-kluster ini, UMS setakat ini mempunyai 6 pusat penyelidikan dan 7 unit penyelidikan yang telah dibangunkan bagi merancakkan lagi aktiviti penyelidikan dan inovasi UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Penyelidik UMS (APUMS) Tahun 2021 di Sabah International Convention Centre (SICC) malam tadi.

Menurut Kasim, UMS juga telah membangunkan makmal hidup atau “living lab” untuk penyelidikan berteraskan komuniti.

“Ini termasuklah bidang sosioekonomi luar bandar, teknologi berinovasi, kesihatan, dan pendidikan, dengan kesemua bidang ini diberi tumpuan untuk membawa ke arah inisiatif komuniti berinovasi, selaras dengan era revolusi IR4.0 kini,” kata Kasim.

Dalam pada itu, Kasim berkata majlis APUMS 2021 adalah manifestasi pengurusan universiti dalam memberikan  pengiktirafan dan penghargaan kepada kakitangan akademik yang telah menjalankan penyelidikan berkualiti dan mengharumkan nama universiti di persada kebangsaan dan antarabangsa.

“Diharapkan penganjuran majlis gilang-gemilang ini mampu menjadi pencetus semangat dan galakan daripada pihak universiti agar kakitangan akademik lebih berusaha dalam meningkatkan kecemerlangan universiti dalam penyelidikan, penerbitan, dan inovasi,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin telah berkenan menyampaikan anugerah kepada para penerima.

Antara anugerah yang disampaikan adalah Penghargaan Bagi 4 Sitasi Tertinggi Dalam Penerbitan Jurnal Berindeks Scopus 2021 Kategori Sains dan Sains Sosial, serta Penghargaan Skor MYRA Tertinggi 2021 bagi Empat Bintang dan Lima Bintang kepada Fakulti dan Institut.

Penyelidik dari Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Prof. Madya Dr. Patricia Clementina Matanjun dinobat sebagai penerima Anugerah Penyelidik 2021, manakala Kasim turut diiktiraf sebagai penerima Anugerah Khas Tun Canselor UMS 2021.

Hadir sama pada majlis tersebut Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr.) Hajah Norlidah Tan Sri Datuk R.M Jasni, ahli-ahli lembaga pengarah UMS serta pegawai-pegawai utama dan kanan UMS.