UNIT EKONOMI DIGITAL PACU PEMBANGUNAN PERNIAGAAN

KOTA KINABALU: Sabah bakal wujudkan Unit Ekonomi Digital sebagai usaha memacu pembangunan perniagaan dan pengkomersilan dalam talian yang kini menjadi sebahagian daripada kelaziman baharu yang perlu dipraktikkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, penubuhan unit itu di bawah kelolaan Jabatan Ketua Menteri merupakan satu daripada aspek perubahan struktur kerajaan negeri yang akan diambil bagi memperkasa lagi sistem penyampaian melibatkan sektor ekonomi dan industri terutama dalam tempoh mencabar sekarang.

Katanya, dengan adanya platform ekonomi digital para petani dan pembekal sayur-sayuran dari Kundasang, Ranau contohnya, tidak perlu lagi pergi ke Kota Kinabalu untuk memasarkan produk mereka, sebaliknya hanya menggunakan sistem dalam talian untuk berkomunikasi dengan pelanggan mereka.

“Kita perlu meningkatkan akses Internet di Sabah. Saya akan bekerjasama rapat dengan syarikat telekomunikasi untuk memastikan semua kawasan di Sabah mempunyai capaian Internet,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bekalan peralatan perubatan daripada Yayasan Osimal di sini, hari ini.

Antara bekalan peralatan perubatan disumbangkan pada majlis itu ialah penutup mulut dan hidung (24,000 keping) ; pelindung muka(5,000 unit); dan pakaian pelindung (800 unit).

Sementara itu, Shafie ketika mengulas gesaan supaya sidang Parlimen diadakan sekurang-kurangnya dua minggu berkata ia adalah landasan terbaik bagi membincangkan isu berkaitan Covid-19 termasuk menjelaskan situasi ekonomi negara sekarang serta hala tuju digariskan untuk masa depan.

“Covid-19 adalah perkara besar yang sedang dihadapi dan kita hanya bermesyuarat satu hari sedangkan banyak maklumat perlu diketahui oleh masyarakat,” katanya.

Semalam, wakil rakyat Pakatan Harapan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Parti Warisan Sabah mengeluarkan kenyataan bersama menggesa supaya Parlimen bersidang sekurang-kurangnya dua minggu bermula 18 Mei ini.

Ini bagi membolehkan perbahasan isu secara lebih mendalam selain ahli jemaah menteri dapat melaksanakan agenda legislatif kementerian masing-masing./beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *