UPKO Menjunjung Kasih Titah Agong dan Raja-Raja Melayu agar Parlimen Dibuka Segera

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong serta Majlis Raja-Raja Melayu diatas keputusan dan titah agar Parlimen dibuka dengan segera.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, titah Diraja tersebut yang mengatakan hal-hal seperti Undangan-undang umpama Ordinan yang digubal atas kuasa Proklamasi Darurat serta jua apa-apa pelan dan strategi untuk menangani pandemik Covid-19 sebaiknya dibahaskan oleh Parlimen.

” Saya ingin memberi ucap sembah setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuanku kerana mengambil langkah meminta pandangan rakyat terhadap keadaan semasa negara melalui Presiden parti-parti politik.

“Sesungguhnya inisiatif sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini dan membuktikan keprihatinan Tuanku.

“Langkah ini juga membuktikan pentingnya institusi raja berperlembagaan yang diamalkan oleh negara kita,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, UPKO melihat titah Diraja ini sebagai petanda bahawa sememangnya Proklamasi Darurat untuk menangani Covid-19 telah gagal sepenuhnya.

“UPKO juga melihat titah Diraja yang meminta supaya Parlimen dibuka sebagai keputusan untuk menidakkan cadangan penubuhan Mageran. Sekali lagi, UPKO menjunjung kasih Tuanku diatas perkenan permohonan kita supaya cadangan Mageran itu ditolak,” katanya.

Oleh itu, Madius menegaskan agar Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat seharusnya mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan titah Diraja itu dan bukannya menerima arahan daripada seorang Menteri sebelum bertindak.

“Menyedari hakikat bahawa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong adalah tonggak utama Parlimen maka titah Diraja supaya Parlimen dibuka hendaklah diambil tindakan serta merta,” katanya