KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Pakatan Harapan sepatutnya mengotakan kata, sekali gus membuktikan ia lebih baik berbanding Barisan Nasional.
“Kalau dua kejadian baru-baru ini diambil sebagai penanda aras, nyata sekali PH tidak lebih baik berbanding BN. Itu persepsi dikalangan masyarakat akar umbi, dan saya juga setuju,” kata Datuk Dr Lucas Umbul, Naib Presiden UPKO.
“Ini mendukacitakan. Sepatutnya PH lebih baik. Mengapa Putrajaya tidak memberikan walau sedikit pun penghormatan kepada Sabah?
“Kita tahu, itu dalam bidang kuasa mereka, tetapi ia secara langsung melibatkan Sabah. Sekarang-kurangnya, berilah maklumat kepada kepimpinan Sabah terlebih dahulu sebelum sesuatu keputusan diambil. Itu bersopan namanya,” tambah beliau yang juga merupakan pengerusi Biro Pendidikan UPKO.
Lucas berkata demikian kepada wartawan ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengenai perlantikan Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang dilihat sekali lagi membelakangkan suara Sabah, kerana tidak terlebih dahulu memaklumkan kepada kerajaan negeri Sabah.
Shafie dipetik sebagai berkata: “Saya tidak dimaklumkan, mereka telah memutuskan tanpa pemakluman daripada pihak universiti kepada Canselor iaitu Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin mahupun saya sebagai Ketua Menteri.
“Kita maklum mereka sudah war-warkan perkara ini, namun saya telah maklumkan kepada menteri (Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik) kalau ada perubahan, kita kemukakan nama malangnya dia buat keputusan sendiri.”
Mengikut surat yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, pelantikan berkenaan bermula 30 Julai tahun ini sehingga 29 Julai 2022.
Terdahulu, pada Mei lalu, Kementerian Kewangan juga telah membatalkan Projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) yang bernilai RM9.4 bilion tanpa memaklumkan kepada kerajaan negeri.
Lucas berkata, “Putrajaya mempunyai kuasa mutlak, namun tindakan berkenaan bertentangan dengan semangat kerjasama antara kedua-dua pihak, ia juga tidak selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963, bahawa kita ini rakan sekutu sama taraf.”
Lucas menekankan, UMS sebagai sebuah universiti utama di Sabah, harus turut serta mendukung keperluan strategik negeri ini.
“Penyandang jawatan perlu mempunyai visi untuk mencari jalan penyelesaian kepada beberapa perkara utama yakni kadar pengangguran graduan UMS yang terlalu tinggi; ketidakpadanan kerjaya dengan bidang kelulusan graduan.
“Seterusnya, peka kepada keperluan mewujudkan Fakulti Undang-undang di UMS, agar selaras dengan inisiatif kerajaan negeri untuk memartabatkan sistem perundangan negeri di Sabah,” ujar beliau.
Fakulti Undang-undang itu kemudiannya harus bekerjasama dengan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) bagi langkah akreditasi, tambah beliau.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius