Upko tanding 5 kerusi di Sabah

PENAMPANG: Upko mengumumkan akan bertanding di lima kerusi Parlimen di Sabah pada PRU15.

Berikut senarai calon Upko yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen:

  • Wilfred Madius Tangau – Tuaran
  • Ewon Benedick – Penampang
  • Peter Jr Naintin – Libaran
  • Rowindy Lawrence – Kimanis
  • Felix Joseph Saang – Beluran

Madius yang juga presiden Upko akan mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran dimenanginya atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

Laluan beliau kali ini bagaimanapun dilihat agak mencabar selepas PRN 2020, kawasan itu didominasi calon daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN.

Malah, Madius sendiri yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu tewas kepada calon daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Joniston Bangkuai yang menang dengan majoriti 1,221 undi.

Sementara itu, keputusan Ewon yang juga bakal presiden Upko bertanding di Penampang pasti menjadi tumpuan pada PRU15 nanti.

Tindakan berani Ewon yang juga ADUN Kadamaian di kawasan Parlimen Kota Belud itu bakal menyaksikan pertandingan antara beliau dengan Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking.

Leiking sebelum ini sudah dua kali menang besar di Penampang iaitu pada PRU13 dengan majoriti 10,216 undi dan PRU14 dengan majoriti 23,473 undi.

Dalam pada itu, Felix yang juga ketua Pemuda Upko bakal bertanding di kerusi Parlimen buat kali pertama di Beluran.

Felix sebelum ini turut bertanding pada PRN lalu di kerusi DUN Telupid namun tewas kepada calon PBS, Jonnybone J Kurum yang menang dengan majoriti 685 undi.

Dua lagi calon ditampilkan Upko ialah bekas pramugari Rowindy yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kimanis serta Peter Jr Naintin di Beluran.

Rowindy merupakan setiausaha Wanita dan timbalan ketua penerangan Upko manakala Peter merupakan ketua bahagian Upko Beluran merangkap timbalan setiausaha agung parti itu.