USIA komited menjadi wadah perjuangan Islam di Sabah – Sairin

KOTA KINABALU, 1 Julai (Bernama) — Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) komited untuk terus menjadi wadah dalam memperjuangkan Islam di Sabah, kata Yang Dipertua USIA, Datuk Sairin Karno.

Beliau berkata, pertubuhan itu juga akan memastikan jalinan hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam di Sabah dieratkan lagi bagi terus memupuk sifat saling hormat menghormati sekali gus menjamin perpaduan dan keharmonian bersama.

Sairin berkata, perjuangan USIA pada masa sekarang semakin mencabar memandangkan fitnah terlalu mudah tersebar sehingga dikhuatiri mengganggu ketenteraman dan kemakmuran negeri.

“Justeru, masyarakat Islam dan bukan Islam di Sabah perlu bekerjasama mencari jalan terbaik bagi terus memastikan Sabah aman dan makmur,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri USIA di sini, hari ini.

Yang turut hadir Penaung USIA Tun Sakaran Dandai dan isteri Toh Puan Siti Rukaiyah Abdullah selaku Penaung Wanita USIA.

Dalam pada itu, Sairin juga mahu pemimpin politik Sabah khususnya yang menjadi anggota Majlis Tertinggi USIA supaya mengenepikan ideologi serta fahaman politik mereka ketika membincangkan hala tuju pertubuhan itu terutama dalam usaha melahirkan generasi insan kamil di negeri ini.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana anggota majlis tertinggi USIA terdiri daripada pelbagai pemimpin tertinggi parti politik di Sabah, meskipun mereka berbeza fahaman politik tetapi, apabila datang di USIA, semua bersemangat menjadikan USIA sebagai wadah perjuangan Islam,” katanya…– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *