KOTA KINABALU: Sebanyak 40 pasukan dari pelbagai institusi pendidikan terdiri daripada universiti awam, universiti swasta, Institut Pendidikan Guru, Institusi Pendidikan MARA, serta politeknik mengambil bahagian dalam Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2023 yang diadakan pada 2 hingga 8 Jun 2023.
Peringkat pusingan awal, suku akhir dan separuh akhir telah berlangsung pada 2 hingga 4 Jun 2023 secara dalam talian melalui aplikasi Zoom Meeting, manakala peringkat akhir pertandingan berlangsung secara fizikal di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 8 Jun 2023.
Pertandingan debat yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama UMS, Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) ini telah mula dianjurkan pada tahun 2019, dan tahun 2023 merupakan penganjuran untuk kali keempat.

Dalam pertandingan akhir hari ini, pasukan debat daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) dinobatkan juara Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2023 dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000 manakala pasukan debat daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul naib juara dengan wang tunai RM6,000.
Penebat Terbaik Keseluruhan dimenangi oleh Muhammad Iman Azhar dari UKM dengan membawa pulang wang tunai RM1,500 dan Pendebat Terbaik Akhir dimenangi oleh Nur Izzah Nasuha Zulmuksah dari UTP dengan membawa pulang wang tunai RM1,500.
Objektif penganjuran pertandingan ini adalah untuk membentuk mahasiswa agar sentiasa peka dengan keadaan semasa dan berani menyuarakan pendapat berkaitan isu rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Haji Azam Baki dalam ucapannya berkata, ” Masyarakat perlu dibentuk supaya patuh kepada undang-undang, supaya negara kita menjadi negara yang aman dan bebas rasuah, berdisplin dan berintegriti tinggi.”
Beliau berkata, para mahasiswa perlu didekati oleh SPRM dalam melahirkan masyarakat yang berintegriti supaya tidak mengalami kejutan budaya serta terdedah kepada kandungan-kandungan yang negatif seperti mencari pendapatan yang lumayan dengan cara singkat yang pada akhirnya mereka terjebak dalam perbuatan jenayah yang memungkinkan berlaku implikasi perundangan.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam ucapannya berkata, UMS amat berbesar hati kerana telah dilantik menjadi tuan rumah Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tahun 2023.

“Sesungguhnya, kita mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama yang memberikan manfaat kepada usaha memperkasa pelajar di universiti. Tahniah diucapkan kepada pihak SPRM kerana sentiasa menyokong dan menganjurkan Pertandingan Debat Antirasuah.
“Tema usul perdebatan yang dibahaskan adalah berkaitan isu-isu rasuah dan integriti. Pertandingan debat ini adalah medan terbaik untuk mengulas isu penting yang sentiasa menjadi sebutan di negara kita,” katanya.
Selain itu, para pendebat serta semua pihak yang terlibat dapat menjadi ejen untuk menyebarluaskan kefahaman serta kesedaran tentang bahaya rasuah kepada masyarakat dan juga negara.
“Kalah atau menang adalah adat dalam pertandingan, namun perkara yang lebih utama adalah perjuangan semua pihak dalam memastikan isu-isu berkenaan rasuah dan integriti dapat disebarluaskan kepada masyarakat di luar,” katanya.
Hadir sama, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM; Profesor Madya Dr. Raman Noordin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS; Profesor Dr. Nor Hisham Hamid, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTP; Datuk Razim Mohd Noor, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM; Aminah Awang Basar, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dan Datuk Karunanithy Subbiah, Pengarah SPRM Sabah.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ