SANDAKAN: Sebuah organisasi perlu memiliki visi jangka panjang serta misi utama dalam menentukan halatuju dan aspirasi organisasi tersebut.
Kelemahan sesuatu organisasi adalah kerana tidak mempunyai visi dan misi yang memenuhi keperluan masyarakat. Manakala, kekuatan sebuah organisasi adalah bergantung kepada kepimpinan dan kekuatan generasi muda mudi kita.
Demikian dinyatakan oleh tetamu kehormat Dr Peter Jr Naintin dalam ucapan semasa merasmikan Pesta Pertarakan Daerah Sandakan anjuran Gereja Seventh-Day Adventist di Dewan Tadika Sung Siew baru-baru ini.
Oleh itu, amatlah penting untuk kita mempunyai visi dan misi dalam kehidupan dan pada masa yang sama, memperkuatkan muda mudi kita untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan, tambah Peter yang juga Ketua Bahagian UPKO Libaran.
Sementara itu, menyentuh tentang penganjuran pesta pertarakan, Peter berkata program tersebut merupakan satu platform yang baik yang dianjurkan oleh pihak gereja SDA bagi memperkasa dan memberikan kesedaran mengenai kesihatan kepada semua peringkat usia dan orang awam terutamanya di daerah Sandakan.
Dengan adanya program seperti ini, kita mengharap agar ianya menjadi salah satu pemangkin kepada orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup sihat pada setiap masa. Kita dapati sebahagian daripada masyarakat kita kurang prihatin dan sering mengabaikan gaya hidup sihat dan penjagaan kesihatan.
Objektif program ialah untuk memberi pendidikan dan promosi program kesihatan kepada masyarakat setempat dengan menerapkan gaya hidup sihat berdasarkan prinsip NEWSTART. Pada masa yang sama, ianya boleh memperkukuhkan semangat perpaduan dan kerja berpasukan antara ahli masyarakat Seventh-day Adventist, pekerja hospital dan pertubuhan bukan kerajaan.
Selaras dengan tema Pertarakan pada tahun ini, iaitu Sihat, Setia & Sopan; Peter menyarankan masyarakat untuk kembali kepada aktiviti ‘Membaca, Mempraktikkan dan Melayani’ agar hasrat masyarakat sihat dapat dicapai dan dikecapi bersama.
Hadir bersama ialah Pengarah, Jabatan Pelayanan Kesihatan, Sabah Mission Pastor Jim Gabu; Pastor Julios Ubara; Ahli Jawatankuasa Pelaksana program; ahli gereja SDA dari Bandar Letat Jaya, Sg Manila Peringkat 5, Sg Manila Peringkat 6, Sg Manila Luboh, wakil NGO Big Heart Libaran, dan Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Klinik Kesihatan, Sandakan.
Sementara itu, Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dari Klinik Kesihatan Sandakan telah membantu dalam menjalankan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada para pengunjung, dimana pemeriksaan tekanan darah tinggi, kandungan gula dan tahap kolestoral dalam badan, termasuk pengiraan Indeks Jisim Tubuh (BMI) diperjelaskan.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ