Wanita cedera di Bukit Botak diselamatkan bomba

KOTA KINABALU: Pasukan Bomba dan Penyelamat menyelamatkan seorang wanita yang mengalami cedera di kaki ketika mendaki Bukit Botak Sepanggar, di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.56 petang.

Katanya, sepasukan sembilan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 25 kilometer dari balai bomba.

“Kejadian membabitkan seorang wanita berusia 34 tahun mengalami cedera di kaki ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Botak.

“Tindakan pasukan bomba memberi rawatan awal kepada mangsa seterusnya dibawa turun menggunakan ‘junkin stretcher’,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya mangsa diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

“Operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.44 malam,” katanya. – Info X