KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah curi motosikal dikenali ‘Geng Bibi’ dengan penahanan 11 individu dan merampas 10 motosikal termasuk rangka yang sudah dileraikan.
Dalam operasi bermula 4 Disember lalu itu, polis juga berjaya menahan ketua kumpulan iaitu seorang wanita yang menjadi ‘mastermind’ dalam kegiatan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, hasil kejayaan tangkapan suspek wanita terbabit membawa kepada penahanan dua lagi lelaki.
Katanya, kedua-dua suspek termasuk seorang warga asing itu dipercayai bertindak sebagai pencuri dan penjual motosikal yang dicuri.
“Serbuan pertama dijalankan pada 10.30 malam, 4 Disember lalu di kawasan Api-Api Centre dan pasukan serbuan menahan suspek wanita yang terbabit di dalam kes ini.
“Hasil daripada soal siasat ini, suspek kemudian mendedahkan dua lagi suspek lain yang terbabit kegiatan mencuri motosikal ini.
“Operasi berterusan kemudian mencatat kejayaan penahanan 11 suspek keseluruhan termasuk seorang daripadanya adalah warga Filipina dan tidak mempunyai pengenalan diri,” katanya semasa sidang media di IPD Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Kasim berkata, semua suspek yang ditahan berperanan sebagai pencuri dan orang tengah termasuk pembeli serta mekanik yang bertindak meleraikan komponen-komponen motosikal dan juga memalsukan nombor pendaftaran.
“Siasatan mendapati, suspek utama iaitu Bibi sudah lama bergiat aktif dalam kegiatan mencuri motosikal, bagaimanapun suspek sebelum ini ditahan dan dimasukkan ke dalam penjara sebelum dibebaskan dan menjalankan kembali kegiatan ini di luar.
“Pihak polis masih memburu seorang lagi rakan suspek yang masih bebas manakala semua tangkapan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Menurutnya, hasil semakan terhadap 11 suspek yang ditahan mendapati lapan daripadanya pernah terlibat dalam kes pecah rumah dan penyalahgunaan dadah di sekitar Kota Kinabalu.
“Dengan tertangkapnya 11 individu ini kita berjaya menyelesaikan tujuh kes curi motosikal di daerah Kota Kinabalu dan 11 kes di daerah-daerah luar termasuk Kinabatangan, Ranau, Beaufort dan Penampang.
“Seorang lagi rakan penjenayah yang masih bebas, kita percaya akan dapat ditangkap dalam masa terdekat,” katanya. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad