Seorang wanita melecur di muka selepas cuba masuk ke dalam rumahnya yang sedang terbakar dalam kejadian di Kampung Batu Arang, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa yang berusia 30 tahun terbabit dikatakan mengalami kecederaan melecur hampir 10 peratus di bahagian muka.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.18 pagi.
Katanya, sepasukan 16 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labuan dan BBP Kampung Jawa kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman.
“Sebaik tiba, kebakaran membabitkan empat rumah jenis separuh kekal dan tidak kekal serta membabitkan seramai 48 mangsa.
“Operasi pemadaman segera dijalankan sebelum api berjaya dikawal pada jam 11.47 pagi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, hanya sebuah rumah gagal diselamatkan sepenuhnya manakala tiga lagi hanya terbakar sekitar empat hingga 10 peratus.
Katanya, dalam kejadian itu, kemalangan hanya membabitkan seorang wanita berusia 30 tahun yang melecur di muka selepas cuba masuk untuk mengambil barang di dalam rumahnya.
“Jabatan Forensik JBPM sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca dan jumlah kerugian dalam insiden kebakaran ini,” katanya. – Asia Times

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad