Warga asing cuba seludup petrol di perairan Semporna gagal selepas kedapatan

Cubaan dua warga asing menyeludup keluar minyak petrol ke negara jiran gagal selepas ditahan pasukan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) di perairan Pulau Bohayen, di sini awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, pasukan ATB 2 yang menjalankan tugas di lokasi tersebut mengesan pergerakan dua buah bot sarat dengan muatan dalam keadaan mencurigakan.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan ATB 2 berkata kedua-dua bot berkenaan dipercayai dari arah perairan Semporna menuju ke Pulau Sitangkai, Filipina.

Katanya, pasukan keselamatan bertindak mengejar dan memintas kedua-dua bot berkenaan untuk tujuan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, pasukan keselamatan hanya berjaya memintas sebuah bot sahaja, manakala sebuah lagi berjaya meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat dua lelaki warga asing di dalam bot berkenaan dan tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 35 tong minyak petrol berkapasiti 35 liter dianggarkan berjumlah 1,225 liter ditemui di dalam bot berkenaan.

“Bot tersebut dirampas atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Hospital Semporna untuk menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bagi siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama semua pasukan barisan hadapan yang bertugas bagi menjamin keselamatan di Perairan Pantai Timur Sabah ditahap yang terbaik.

Sementara itu, Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad menzahirkan ucapan tahniah kepada Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 dan pasukan keselamatan atas kejayaan itu.

Beliau turut mengingatkan anggota operasi agar tidak leka, sentiasa meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi bagi menangani cabaran keselamatan serta lain-lain ancaman sepanjang masa.

 “Operasi akan diteruskan bagi memastikan sempadan negara selamat di dalam usaha menyekat jenayah rentas sempadan.

“Pasukan keselamatan juga akan mengetatkan lagi kawalan sempadan melalui pelaksanaan Op Pasir dan Op Benteng Bersama di Perairan Pantai Timur Sabah,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *