Warga emas ditahan disyaki curi barang syarikat

TAWAU: Seorang lelaki warga emas ditahan selepas dipercayai mencuri beberapa barangan milik sebuah syarikat di sekitar bandar ini, semalam.

Suspek berusia 69 tahun itu ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sebuah rumah tidak jauh dari lokasi kejadian, jam 3.35 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan itu dibuat selepas pihak syarikat membuat laporan kehilangan barangan yang disedari pada 10 Disember lalu.

“Antara barangan yang hilang termasuk sebuah televisyen, meja, kerusi, alat senaman, dan sebuah laci (drawer) yang dianggarkan bernilai ribuan ringgit.

“Suspek dipercayai memasuki premis tanpa kebenaran dan melarikan barangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, susulan penahanan itu beberapa barangan yang dicuri juga turut ditemui semula ketika serbuan dijalankan.

Antara barang yang dicuri oleh suspek.

“Siasatan awal mendapati suspek bertindak seorang diri dan dipercayai menggunakan barangan berkenaan untuk kegunaan peribadi. Namun, polis tidak menolak kemungkinan ia akan dijual.

“Suspek ditahan dan dibawa ke IPD Tawau bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X