Warga emas meninggal dunia dalam kereta

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah kenderaan, sebelum disahkan meninggal dunia, semalam.

Dalam kejadian di tempat letak kereta berhadapan sebuah kedai di Kingfisher, di sini, mangsa dilihat dalam keadaan berdarah, sebelum dilaporkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu, pada 5.15 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki berusia 64 tahun itu ditemui terbaring di dalam kereta dalam keadaan berdarah.

“Pemeriksaan telah dibuat oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), mengesan kematian mangsa.

“Siasatan di tempat kejadian menunjukkan tiada unsur-unsur perbuatan jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, punca kematian mangsa masih dalam siasatan polis.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya. – Info X