Warga emas rentung dalam kebakaran di Kiulu

Seorang warga emas rentung selepas dipercayai terperangkap di dalam rumahnya yang terbakar di Kampung Tombongon, Kiulu, di Tuaran, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia 80 tahun dikatakan tinggal seorang diri di rumah berkenaan.

Rumah mangsa yang dikenali sebagai Chong Pau Sang @ Joseph Chung dikatakan terletak berjauhan daripada rumah penduduk lain di kampung berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 11.29 malam.

Katanya, sebuah jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian bersama sepasukan 10 anggota dan pegawai.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, keadaan rumah mangsa sudah terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman kebakaran segera dijalankan sebelum api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.40 tengah malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Qawie berkata, mangsa ditemui rentung sepenuhnya di dalam rumah berkenaan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, setakat ini punca sebenar kejadian kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Asia Times